GOTONG-ROYONG MEMASAK JUADAH BERBUKA ANAK-ANAK YATIM
- Written by AdminPLPP
6 Mei 2021 - Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim pada kali ini agak berbeza pada tahun-tahun yang lalu. Majlis pada kali ini dirancang dengan penyediaan makanan kepada anak-anak yatim dan seterusnya penghantaran makanan dan penyerahan duit raya ke rumah anak-anak yatim tersebut.
Majlis gotong royong bagi menyediakan juadah telah bermula pada jam 10.00 pagi dengan kehadiran Komandan dan kakitangan bagi menyediakan juadah bertempat di Rumah Persiap (Mayang Sari). Selesai memasak juadah, makanan tersebut dibungkus dan diasingkan mengikut jumlah anak-anak yatim dan penjaga.
Pada jam 5.00 petang, rombangan untuk penghantaran juadah ke Rumah Anak-Anak Yatim Ummu Sofiyah yang diketuai oleh PKP Azhari bin Zaman, Komandan Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia, Taiping, Puan Sarizah binti Dahaman, Pengerusi Persiap dan beberapa orang kakitangan telah bertolak ke rumah anak yatim tersebut untuk penghantaran juadah berbuka dan sumbangan duit raya.
Pada waktu yang sama, rombongan penghantaran juadah dan sumbangan duit raya ke Rumah Anak-Anak Yatim Cahaya Ain, Bagan Serai yang diketuai oleh TPP Abdullah bin Abd, Kodir, Timbalan Komandan Pengurusan dan beberapa orang kakitangan telah bertolak ke sana. Acara yang menjadi tentatif wajib bagi Institusi ini pada bulan Ramadhan ini diharap dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang bagi memastikan golongan anak-anak yatim ini tidak dipinggirkan.