Vinaora Nivo SliderVinaora Nivo SliderVinaora Nivo SliderVinaora Nivo Slider

Pautan

Jabatan Penjara Malaysia Maktab Penjara Malaysia Akademi Koreksional Malaysia Langkawi Institut Koreksional Malaysia Melaka  Persatuan Pegawai Penjara Malaysia (POA) Majlis Sukan Jabatan Penjara Malaysia

MS ISO 9001 : 2015

Pelawat

0002700615
Today
This Week
This Month
Last Month
All days
233
52573
74460
29416
2700615

Forecast Today
144

9.45%
19.90%
0.84%
2.48%
0.09%
67.23%
Online (10 minutes ago):15
15 guests
no members

Your IP:127.0.0.1

Sejarah Jabatan Penjara

  • Written by Admin

Pendahuluan 

Penjara adalah berbeza dari institusi atau organisasi yang ada dalam masyarakat moden. Perbezaan bukan sekadar dari penampilan fizikal, malahan ianya merupakan satu tempat di mana satu kumpulan pekerja yang terlatih berkhidmat untuk mengurus dan menjaga satu kumpulan manusia yang bergelar "banduan/tahanan/juvana". Kumpulan kedua ini tidak datang secara rela, malah mereka dipaksa masuk dan dihalang dari meninggalkan kawasan penjara oleh pengawal, tembok dan pagar. Dalam erti kata lain, pihak pengurusan Jabatan Penjara tidak boleh memilih pelanggan dan tidak mempunyai kuasa untuk membebaskan mereka. Banduan/ tahanan/penghuni harus hidup mengikut peraturan yang ditetapkan dan pergerakan mereka adalah amat terkawal. Dalam konsep kepenjaraan masa kini, penjara merupakan tempat di mana banduan akan ditahan, dikawal dan menjalani pelbaga aktiviti pemulihan sehinggalah tarikh mereka dibebaskan. Masyarakat harus menyedari bahawa falsafah kepenjaraan itu merupakan satu ukuran ketamadunan bagi kehidupan sesebuah masyarakat sesebuah negara. Jabatan Penjara Malaysia adalah institusi terakhir dalam perlaksanaan "Criminal Justice System", dan bertanggungjawab kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Jabatan Penjara Malaysia berkhidmat kepada masyarakat dengan menahan mereka yang dihukum oleh mahkamah. Tugas Jabatan Penjara ialah mengawal mereka dengan penuh perasaan perikemanusiaan dan membantu mereka menjalani kehidupan yang berfaedah serta mematuhi undang-undang semasa dalam tahanan dan selepas dibebaskan.

  

Sejarah Penubuhan

 

Sewaktu pemerintahan British dan sehingga kedatangan Jepun, tempat-tempat hukuman dijalankan adalah di bawah tanggungjawab pemerintahan negeri dengan peraturan-peraturan masing-masing. Bagi Negeri-negeri Selat, seorang Penguasa yang ditempatkan di Singapura bertindak sebagai penyelia dengan membuat pemeriksaan ke negeri-negeri di bawah jajahannya. Negeri-negeri Selat merupakan negeri-negeri yang awal sekali membangunkan penjara-penjaranya manakala Negeri-Negeri Melayu hanya membangunkan penjara-penjara setelah British menubuhkan pentadbiran yang bertanggungjawab. Penjara Taiping atau lebih dikenali sebagai "Taiping Gaol", yang merupakan penjara terbesar di Tanah Melayu pada ketika itu telah dibangunkan pada tahun 1879. Pentadbiran penjara ditubuhkan dengan tujuan utama untuk menimbulkan kesengsaraan dalam hidup banduan dengan harapan kesengsaraan ini dapat menghindarkan orang-orang melakukan jenayah. Dalam tahun 1881, wadar Sikh dibawa masuk untuk membantu wadar Melayu dan pengajar pertukangan dari Hong Kong digunakan dalam usaha memperkenalkan perusahaan dalam penjara. Antara perusahaan awal adalah seperti pecah batu dan pertukangan kayu. Pada tahun 1882, satu percubaan pengkategorian banduan dilakukan dan pada tahun 1889 wadar berbangsa Eropah telah dilantik di sesetengah penjara. Dengan penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Penjara Taiping dijadikan pusat penahanan banduan hukuman lama bagi negeri Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor. Pada tahun 1923, Sistem Hakim Pelawat telah diperkenalkan. Perusahaan penjara telah diperkembangkan dan meliputi kerja-kerja percetakan, menenun kain, jahitan, perusahaan rotan dan besi. Pada tahun 1924, pekerjaan pecah batu dihapuskan dan diganti dengan kerja pukul sabut kelapa. Semasa pemerintahan Jepun (1941-1945), penjara telah digunakan sebagai penjara awam dan juga tawanan perang oleh Tentera Jepun. Dalam tempoh peperangan inilah, semua rekod mengenai penjara dan banduan dimusnahkan.

 

Selepas Perang Dunia Kedua, Ibu Pejabat Penjara ditubuhkan dan mentadbir semua penjara-penjara di Tanah Melayu. Era selepas perang menyaksikan keadaan kembali tenang dan kaedah pentadbiran moden diperkenalkan. Keadaan darurat pada tahun 1948 menyebabkan bilangan tahanan meningkat dan berlaku kesesakan dalam penjara. Ini menyebabkan pembangunan penjara terbantut dan hanya ketika akhir tahun 1949, keadaan kembali tenang dan tumpuan kepada pembangunan sistem penjara dapat dijalankan sepenuhnya.

  

Pada tahun 1952, Undang-Undang Penjara telah digubal dan diikuti penggubalan Peraturan Penjara Persekutuan pada 1953 yang berdasarkan konsep layanan moden diperkenalkan bagi menggantikan undang-undang penjara lama. Dalam tahun itu juga, Rang Undang-Undang Keadilan Jenayah (Criminal Justice Bill) telah diluluskan dan undang-undang ini telah memansuhkan penyeksaan dengan cemeti (cat of nine tails) dan penggunaan istilah "penjara" bagi perkataan-perkataan "penal servitude". Tahun 1957, merupakan tahun kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Pesuruh Jaya Penjara yang pertama telah dilantik untuk mengendalikan pentadbiran semua penjara di Persekutuan Tanah Melayu. Dengan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Jabatan Penjara Malaysia merangkumi pengurusan penjara bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Pada 2 November 1995 telah dikuatkuasakan Akta Penjara 1995 bagi menggantikan Akta Penjara lama. Pada 1 September 2000 pula telah dikuatkuasakan Peraturan-Peraturan Penjara 2000 bagi menggantikan peraturan-peraturan terdahulu. Akta dan peraturan yang terdahulu telah lama digunakan dan wajar dibuat perubahan dan pembaharuan berdasarkan kepada keperluan dan perubahan semasa bagi memperkemaskan jentera pengurusan dan pentadbiran institusi penjara. Dalam era pembangunan dan permodenan, Jabatan Penjara Malaysia menyedari hakikat bahawa kita tidak seharusnya alpa dengan pencapaian yang lepas dan seharusnya bergerak maju ke hadapan serta berinovasi bagi membantu melicinkan pentadbiran penjara dalam menangani budaya-budaya moden dalam kriminologi, penalogi dan kawalan sosial secara keseluruhannya.

 

 

 

 

INFO COVID-19

Info Covid KKM  mysejahtera   

Intranet

Sistem Online

Muat Turun

Info Integriti

Alamat Kami

Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia, 
Jalan Muzafar Shah, 34000,
Taiping, Perak 
Tel: 05 8050020, 05 8082182
Fax : 05 8064909
Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 

Carian